Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

Labels

Saturday, September 04, 2004

Anwar bebas: Mahkamah ketepi sabitan kes liwat

PUTRAJAYA: Selepas menjalani hukuman penjara hampir enam tahun, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan semalam apabila Mahkamah Persekutuan di sini membenarkan rayuannya terhadap sabitan bagi kesalahan liwat.Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan – Datuk Abdul Hamid Mohamad, Datin Paduka Rahmah Hussain dan Tengku Datuk Baharuddin Shah Tengku Mahmud – mengetepikan sabitan dan hukuman penjara sembilan tahun yang dikenakan terhadap Anwar pada 2 Ogos 2000, dengan majoriti 2-1.Mahkamah turut mengetepikan sabitan dan hukuman penjara enam tahun terhadap adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja. Mereka sebelum ini didapati bersalah meliwat pemandu keluarga Anwar, Azizan Abu Bakar, di apartmen Sukma di Tivoli Villa, Bangsar, Kuala Lumpur, antara Januari hingga Mac 1993.Pembebasan Anwar, 57, semalam, genap enam tahun selepas beliau dipecat daripada Kabinet pada 2 September 1998.Abdul Hamid, yang membaca penghakiman setebal 88 muka surat berkata, keputusan majoriti itu adalah daripada beliau dan Tengku Baharudin Shah yang juga Hakim Mahkamah Rayuan, manakala Rahmah menentang.Sebaik hakim selesai membaca penghakimannya, Anwar, yang sebelum itu tiba di mahkamah dengan berkerusi roda dan memakai ‘neck brace’, sambil tersenyum dari kandang pesalah berkata: “Terima kasih dan semoga Allah memberkati anda.”Dengan dikerumuni anggota keluarga dan penyokongnya, Anwar kemudian memberitahu wartawan, beliau berterima kasih kepada mahkamah kerana membebaskannya.“Alhamdulillah, semuanya telah selesai. Saya berterima kasih kepada Pak Lah (Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dan merayu supaya beliau terus melakukan perubahan dan pemulihan dalam politik di negara ini,” katanya.Anwar berkata, beliau memberi penghargaannya kepada Abdullah kerana tidak campur tangan dalam sistem perundangan, terutama berhubung kes itu.Apabila diminta mengulas mengenai perasaannya terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau berkata: “Saya tidak berdendam terhadap Dr Mahathir.”Dalam penghakimannya, Abdul Hamid berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan tanpa keraguan munasabah kes terhadap Anwar dan Sukma, seperti dikehendaki undang-undang berkaitan berhubung keterangan yang boleh diterima dan sejajar dengan prinsip undang-undang yang sudah termaktub.“Untuk meringkaskan penghakiman kami, walaupun membaca rekod rayuan, kami mendapati bukti untuk mengesahkan bahawa perayu terbabit dalam kegiatan homoseksual dan kami lebih terdorong untuk mempercayai bahawa kejadian yang didakwa berlaku di Tivoli Villa, benar terjadi.“Kadang kala, mahkamah ini, sebagai mahkamah undang-undang, mungkin hanya mensabitkan perayu jika pendakwaan berjaya membuktikan kesalahan seperti dinyatakan dalam tuduhan, melampau keraguan munasabah, berdasarkan bukti yang diterima dan mengikut prinsip undang-undang yang termaktub.“Kami mungkin mempunyai keyakinan mengenai salah atau benar perayu tetapi keputusan kami hanya boleh berdasarkan bukti yang dikemukakan dan bukan sebab lain,” katanya.Beliau berkata, isu yang perlu ditentukan oleh mahkamah pada akhir kes pendakwaan ialah sama ada mereka telah membuktikan tanpa keraguan munasabah bahawa Anwar dan Sukma meliwat Azizan di Tivoli Villa pada satu malam antara Januari dan Mac 1993, dan bagi Sukma pula, sama ada dia bersubahat dengan Anwar melakukan kesalahan itu.“Mahkamah menetapkan bahawa hakim yang mengendalikan perbicaraan seharusnya tidak menerima sesuatu pengakuan jika terdapat sebarang kesangsian sewaktu pengakuan itu dibuat atau dirakamkan,” katanya.Abdul Hamid berkata, pelbagai perkara luar biasa berlaku berhubung tangkapan Sukma dan pengakuannya, sebelum dan selepas pengakuan itu dibuat.Pengakuan itu dibuat 10 hari selepas soal siasat intensif dilakukan dan 12 hari selepas penahanannya (sehingga tarikh dia membuat kenyataan itu kepada seorang majistret), sedangkan asalnya dia ditangkap sebagai seorang saksi dan disoal siasat sebagai seorang pesalah dan akhirnya menjadi orang tertuduh.“Hakikatnya ialah dia dihadapkan ke mahkamah dua hari selepas itu kerana membenarkan Anwar meliwatnya, dan catatan mengenainya dikemukakan sebagai bukti dalam perbicaraannya.“Mahkamah juga mendapati bahawa Azizan adalah seorang yang bersubahat. Oleh itu, keterangan sokongan mengenai perwatakan yang meyakinkan dan tidak dapat ditolak, adalah diperlukan,” katanya.Beliau berkata, berdasarkan keterangan Azizan sendiri, dia diliwat 10 hingga 15 kali di pelbagai tempat termasuk di rumah Anwar dalam tempoh beberapa tahun. Dia tidak pernah membuat sebarang laporan, tidak pernah mengadu mengenainya dan tidak segera meletak jawatan daripada pekerjaannya selepas dia diliwat buat pertama kali.Katanya, walaupun keterangan Dr Mohamed Fadzil Man yang memeriksa Sukma pada 10 November 1994 dan bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar, serta perilaku Anwar mengesahkan pembabitan Anwar dan Sukma dalam kegiatan homoseksual, keterangan seperti itu tidak menyokong cerita Azizan bahawa dia diliwat di tempat dan pada masa dan tarikh seperti disebut dalam tuduhan.Tanpa keterangan sokongan, katanya, adalah tidak wajar untuk menghukum mereka semata-mata berdasarkan keterangan seorang yang bersubahat melainkan jika keterangannya begitu meyakinkan atau sebab lain yang boleh diberi pertimbangan khas, tetapi ini tidak ditemui oleh mahkamah.Abdul Hamid berkata undang-undang yang berkaitan itu memerlukan pihak pendakwaan membuktikan kesnya tanpa sebarang keraguan munasabah sebelum memanggil tertuduh membela diri.Beliau berkata, mahkamah mendapati bahawa Mahkamah Tinggi telah terkilaf dengan memanggil kedua-dua tertuduh membela diri, dan sepatutnya, mereka dibebaskan di akhir kes pendakwaan.Rahmah pula dalam penghakiman berbezanya setebal 35 halaman berkata, beliau mendapati tiada sebab untuk menerima rayuan perayu dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.Katanya, walaupun wujud percanggahan dalam keterangan Azizan berhubung tarikh kesalahan itu dilakukan, ia tidak sewenang-wenangnya menjadikan Azizan seorang saksi yang tidak boleh dipercayai dan keseluruhan keterangan mengenai ceritanya tidak dapat diterima.“Percanggahan itu tidak memudaratkan kes pendakwaan memandangkan dalam kesalahan seksual, tarikh bukannya intipati penting dalam pertuduhan,” katanya.Mengenai isu sama ada Sukma membuat pengakuan secara sukarela, Rahmah berkata beliau mendapati tidak ada sebab yang kuat untuk menolak keputusan Hakim Mahkamah Tinggi dan juga Mahkamah Rayuan.Beliau bersetuju bahawa butiran dalam pengakuan itu mestilah diberikan secara sukarela dan juga bersetuju dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi bahawa Azizan bukan seorang yang bersubahat.“Tidak ada apa-apa yang menunjukkan Azizan akur sepenuhnya dengan niat jahat seorang yang lain untuk satu tempoh tertentu, sehinggalah dia mulai bimbang atau kerana sebab lain, menentang bekas rakannya dan memberikan maklumat mengenainya,” katanya.Rahmah berkata, beliau berpendapat Azizan bukannya seorang yang bersubahat tetapi seorang mangsa rogol dan malu serta takut membuat laporan terhadap kedua-duanya.“Oleh itu, memandangkan Azizan bukan seorang yang bersubahat, keterangan sokongan tidak diperlukan bagi mahkamah membuat keputusan bahawa Azizan boleh dipercayai,” katanya.Sebaik saja Rahmah habis membacakan penghakimannya, Abdul Hamid berkata penghakiman itu akan mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai."Ini hak mereka tetapi saya minta mereka baca dulu penghakiman sebelum memberi sebarang komen berhubung keputusan kami. Jika rasa ia terlalu panjang, bacalah ringkasannya saja," katanya.

0 comments: